Wednesday, May 30, 2007

Artikel : Anak sulong mudah cemburu

Kesihatan Anak: Anak sulung mudah cemburu
Oleh HAFIZAH ISZAHANID
hafiza@nstp.com.my

Tidak mustahil kelahiran adik timbulkan dendam dan perlu ditangani segera

MERAIKAN anak kedua dalam keluarga mungkin tidak semanis dijangka apabila anak sulung mula mencemburui adik barunya. Kadangkala, tanpa disedari kelahiran anak kedua menyebabkan emosi anak sulung terganggu.

Pakar Perunding Pediatrik, Pusat Perubatan Kampung Baru, Dr Nor Aziah Shaari, berkata jika ibu terlalu memberi tumpuan kepada bayi yang baru lahir, anak sulung yang biasanya berusia antara dua hingga empat tahun memang mudah cemburu.

“Perasaan cemburu adalah masalah emosi yang lazim berlaku. Mereka berebut mendapatkan perhatian ibu bapa, kerana perhatian ditafsirkan sebagai kasih sayang,”

“Mereka mungkin bergaduh sesama sendiri atau mengganggu adik yang baru lahir kerana pada pandangan mereka adik yang baru lahir ini merampas kasih sayang ibu bapa, terutama kasih ibu,” katanya.

Justeru, tidak mustahil anak sulung akan menyimpan dendam terhadap adik yang baru lahir jika masalah ini tidak ditangani dengan baik.

Nor Aziah berkata, anak sulung perlu diberitahu mengenai perlunya adik dilayani kerana dia masih kecil. Katakan juga, ibu melayani adik seperti mana ibu membelai abang atau kakak ketika bayi.

Bagaimanapun dalam melayani bayi, keperluan anak sulung tidak boleh diabai. Mintalah bantuan suami atau ahli keluarga lain bagi memastikan anak sulung tidak rasa terpinggir dan diabaikan. Jika bayi tidur, ambil peluang itu untuk melayani si anak sulung.

“Rasa cemburu terhadap bayi yang baru lahir bukan hanya terjadi di kalangan anak sulung. Ia juga lazim berlaku kepada adik-beradik yang masih kecil berusia antara satu hingga empat tahun kerana mereka masih belum berdikari sepenuhnya.

“Cemburu juga boleh berlaku kepada kanak-kanak yang sudah lama menjadi anak tunggal atau anak bongsu. Malah sebenarnya, suami juga boleh mengalami tekanan perasaan atau perasaan cemburu, terutama jika sudah lama hidup sebagai pasangan, tanpa ada gangguan. Bila bayi dilahirkan, ibu banyak menumpukan perhatian kepada bayi dan suami mungkin terasa terbiar!,” katanya.

Tidak dinafikan rasa cemburu itu juga timbul kerana jarak usia yang terlalu jauh antara abang atau kakak dengan kelahiran kedua. Anak sulung juga mungkin terlalu dimanjakan dan menyebabkan mereka begitu merasai perubahan perhatian dan kasih ibu bapa.

“Abang atau kakak yang masih kecil mungkin kerap membuat adik yang baru lahir menangis dengan pelbagai cara. Mereka mungkin ingin membalas dendam atau melepaskan rasa marah atau mungkin juga mereka masih tidak tahu bagaimana melayani adik yang masih kecil,”

Justeru kata Nor Aziah, mereka perlu diberitahu berulang kali supaya tidak mengganggu bayi kerana sebagai kanak-kanak, mereka mungkin masih belum mengerti atau mungkin terlupa hakikat yang adik masih kecil dan belum boleh bermain seperti mereka,”

Bagaimana Menangani Cemburu?

Untuk menangani masalah cemburu, persediaan perlu sebelum bayi lahir. Abang atau kakak perlu disediakan untuk menghadapi saat-saat kelahiran adik baru. Ini dapat membantu mereka supaya lebih bersedia dan kurang mengalami tekanan perasaan.**
• Bercakaplah dengan mereka mengenai bayi yang bakal lahir. Buatlah persediaan menyambut bayi seperti membeli baju bersama-sama supaya debaran menyambut adik baru turut dirasainya.

• Jika mereka mahu mengambil tugas membantu menjaga bayi, berikan sokongan dan pengawasan. Jika mereka masih belum bersedia membantu anda dalam penjagaan bayi, jangan paksa mereka. Awasi anak anda jika mereka bersama bayi yang baru lahir supaya perkara tidak diingini tidak berlaku, seperti menekup muka bayi dengan bantal, mendokong bayi dan pelbagai lagi.

• Luangkan masa khusus untuk anak anda yang lebih tua, tanpa perhatian yang terbahagi, misalnya bermain dengannya sewaktu bayi tidur.

Nor Aziah berkata, anak yang lebih tua akan berasa masih disayangi jika anda meluangkan masa khusus untuk mereka, tanpa sebarang gangguan. Selain itu, ucapkan sayang kepada mereka supaya sentiasa berasa disayangi.

“Dalam memberi perhatian kepada bayi, jangan abaikan perkembangan anak sulung. Jika anda melihat dia mengalami tekanan perasaan, dapatkan nasihat doktor dan pakar psikologi supaya dapat ditangani dari peringkat awal lagi,”

• Elakkan dari memberi komen berlebihan mengenai bayi sewaktu anak anda ada bersama-sama. Ini termasuklah komen dari anda atau pun keluarga dan kawan-kawan anda.

Sajak : Ayah Ibu



ayah ibu
kami anak-anak mu
amanah dari pencipta

ayah ibu
didiklah kami dengan kasih sayangmu
moga membesar kami dengan kebahagiaan

ayah ibu
kami ibarat kain putih
contenglah dan coretlah
kerana akhlak kami
terbentuk dari tangan kalian

ayah ibu
asuhlah kami mengenal Allah
asuhlah kami muliakan agama
asuhlah kami dengan al-Quran dan sunnah
asuhlah kami menjadi anak yang solleh

ayah ibu
ampunilah dosa kami
doakan kami dunia akhirat
semoga kami menjadi anak yang solleh dan solehah

Nukilan,
az-zirah
30 May 2007